Sunday 23 September 2012

hey bahan nusajaya menuju bandar metropolis




Nusajaya menuju bandar metropolis.
NUSAJAYA 11 Jun - Sebelum ini Nusajaya dengan keluasan 170 kilometer persegi hanyalah kawasan hutan dan ladang kelapa sawit dan getah.

Namun hampir sedekad kebelakangan ini, kawasan yang terletak di bawah Parlimen Gelang Patah, Johor itu berubah wajah secara drastik hasil perancangan bernas kerajaan Barisan Nasional (BN) apabila memindahkan pusat pentadbiran negeri ke kawasan berkenaan.

Perubahan Nusajaya yang terletak di zon utama B Iskandar Malaysia itu sememangnya sukar untuk digambarkan dengan kata-kata, malah penulis yang berasal dari bandar raya Johor Bahru sentiasa kagum melihat perubahan kawasan itu.

Pertama kali menjejakkan kaki ke Nusajaya setahun lalu, mungkin tidak banyak yang mahu diceritakan. Namun, sejak dari hari itu, Nusajaya yang diibarat seperti 'permata' Iskandar Malaysia terus menunjukkan kilauannya.

Masakan tidak, pembangunan di sini nyata hebat termasuk dengan kawasan perumahan, pusat pembelajaran, perubatan yang bertaraf antarabangsa, pelabuhan, hotel lima bintang dan lokasi tumpuan pelancong.

Nusajaya dengan kemudahan jaringan jalan raya yang baik turut menempatkan pusat pentadbiran kerajaan negeri di Kota Iskandar; pelabuhan antarabangsa, Port Tanjung Pelepas (PTP) dan Kelompok Logistik dan Industri Wilayah Selatan (SILC).

Selain itu, di sini juga antara lain terletaknya Legoland Malaysia, taman tema pertama seumpamanya di Asia; studio bertaraf dunia, Pinewood Iskandar Malaysia Studios; Universiti Newcastle, Malborough College Malaysia dan Hospital Columbia Asia.

Hakikatnya, tiada siapa menyangka Nusajaya sebagai kawasan baru mampu berubah dengan begitu pesat dalam masa yang singkat dan ia hasil usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mahu menjadikan ia sebagai bandar raya metropolis yang kondusif untuk didiami dan dikenali.

Bermula dengan idea bernas itu, Nusajaya yang mempunyai kemudahan seperti Lebuh raya Linkedua terus 'dilimpahi' pelbagai jenis pembangunan termasuk pelaburan dari dalam dan luar negara menerusi Iskandar Malaysia pada masa ini dan akan datang.

Seorang pegawai bank yang menetap di Nusa Idaman, Muzaffar Musa, 35, mengakui mempunyai kenangan manis kerana mereka sekeluarga antara penghuni terawal menetap di situ, sekali gus mengalami sendiri perubahan di kawasan tersebut.

Biarpun beberapa bulan mereka tinggal 'bersendirian' di situ pada 2006, ia langsung tidak mendatangkan perasaan takut kerana yakin dengan kawalan keselamatan di situ.

"Dalam keadaan sekarang, 100 peratus rumah di kawasan ini sudah berpenghuni. Rata-rata masyarakat tempatan yang bekerja di sekitar Nusajaya dan warga asing terutamanya rakyat Singapura juga memilih menetap di sini.

"Ketika beli rumah, harganya di kategori sebagai mampu milik untuk kami pasangan baru berkahwin dan ternyata pelaburan pembelian aset di sini tidak mengecewakan kerana harganya meningkat setiap tahun," katanya yang kagum dengan kemajuan Nusajaya dan berharap ia bukan hanya menjadi tempat tinggal yang paling kondusif malah sebagai destinasi pilihan pengunjung tempatan dan asing.

Mohd. Shah Mohd. Din, 55, pula yang merupakan penduduk asal dan menetap di Gelang Patah berbangga dengan pembangunan dan kemajuan yang membawa transformasi ke Nusajaya.

Menurutnya, masih bermain-main lagi di dalam ingatan bagaimana kawasan berkenaan yang dahulu hanya dipenuhi hutan dan paya bakau bertukar wajah menjadi sebuah bandar 'idaman' bagi penduduk tempatan dan warga asing.

Katanya, jika dahulu kawasan Nusajaya tidak 'semeriah' seperti sekarang yang kini mempunyai pelbagai kemudahan antaranya pusat beli-belah Jusco di Bukit Indah, Tesco, Giant dan Legoland.

"Saya gembira dengan usaha yang dilakukan kerajaan kerana 'tempias' pembangunan pesat di Nusajaya turut dirasai penduduk sekitar. Saya bersyukur kerana kerajaan BN berjaya mengubah wajah kawasan ini," katanya.

Seorang kakitangan awam, Annaz Md. Nor, 27, yang menetap di Taman Desa Skudai yang juga terletak di bawah Parlimen Gelang Patah berkata, biarpun baru menetap di situ tiga tahun lalu, dia sering berkunjung ke Nusajaya.

"Tempat ini sememangnya cepat membangun, akses jalan raya juga baik menjadikan perjalanan ke Nusajaya lebih cepat. Macam-macam ada di Nusajaya, malah pada masa akan datang banyak lagi projek yang telah dirancang akan mula dilaksanakan," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusajaya, Datuk Aziz Sapian berkata, pada mulanya idea untuk membangunkan Nusajaya tidak mendapat sambutan baik daripada penduduk setempat, namun selepas diberi penerangan ia mengikut seperti dirancang.

Beliau turut mengingatkan penduduk dengan pepatah Melayu 'bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian' bahawa semua yang dilakukan oleh kerajaan di Nusajaya adalah untuk perancangan jangka panjang demi kepentingan rakyat dan negara.

No comments:

Post a Comment